SEJARAH BTPN
Program
Teknologi Pendidikan mula diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara sejak
sebelum merdeka lagi melalui alat bantu mengajar. Melalui penggunaan alat-alat
bantu mengajar seperti filem jalur secara terancang, dapat menjelaskan konsep
pembelajaran dan memperkayakan suasana pembelajaran dengan bantuan gambar, teks,
dan audio.
Pada tahun
1949, sebuah Jawatankuasa Ad-Hoc Alat Pandang Dengar (APD) Persekutuan telah
dibentuk bagi menyelaraskan penerbitan topik-topik tempatan dan penggunaan alat
bantu mengajar. Dengan perkembangan penerbitan bahan dan keperluan khidmat
nasihat yang berterusan ke atas pengurusan dan penggunaan alat-alat tersebut,
maka Jawatankuasa Alat Pandang Dengar Negeri dan Pusat Alat Pandang Dengar
Negeri ditubuhkan pada tahun 1950-an. Pada tahun 1956, satu Jawatankuasa sepenuh
masa dibentuk dan diketuai oleh seorang Setiausaha Alat Pandang Dengar.
Pada
peringkat awal, perkhidmatan Unit Alat Pandang Dengar diletakkan di bawah
Bahagian Latihan Guru, memandangkan guru-guru digalakkan menggunakan APD dalam
proses pengajaran masing-masing. Dengan rombakan Kementerian Pelajaran pada
tahun 1963, Unit APD dipindahkan ke Bahagian Sekolah-Sekolah dan seterusnya
telah menubuhkan sebuah Pusat APD Kebangsaan dan 302 buah Pusat APD Daerah di
seluruh negara untuk memberi perkhidmatan kepada 1500 buah Sekolah Rendah
Kebangsaan.
Usaha untuk
memperluaskan penyampaian pendidikan ke kawasan-kawasan luar bandar di
Semenanjung Malaysia diteruskan dengan melancarkan Perkhidmatan Siaran Radio Ke
Sekolah-Sekolah pada tanggal 2 Mei 1966. Usaha ini merupakan kerjasama antara
Kementerian Penerangan dan Penyiaran dengan Kementerian Pelajaran. Penumpuan
diberikan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan
Bahasa Tamil. Seterusnya, pada tahun 1967, perkhidmatan ini diperluaskan ke
sekolah-sekolah menengah.
Pada tanggal
18 Mei 1970, Perkhidmatan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah telah diletakkan di
bawah Kementerian Pelajaran, tetapi Kementerian Penerangan dan Penyiaran terus
menyediakan kakitangannya sehingga Kementerian Pelajaran mengganti kakitangannya
sendiri pada satu tempoh yang sesuai kelak.
Pada akhir
1960-an, konsep multi-media telah berkembang dan diyakini berpotensi
untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan
pelancaran siaran rancangan television pada tahun 1963, Kementerian Pelajaran
telah menjalankan dua projek rintis pada tahun 1965 di sekolah rendah dan pada
tahun 1966 di sekolah menengah untuk mengkaji kesesuaian mengadakan perkhidmatan
TV Pendidikan. Dapatan ke atas kajian amat menggalakkan dan mencadangkan untuk
menubuhkan Perkhidmatan Televisen Pendidikan.
Pada tahun
1968, Kementerian Pelajaran telah melantik En. Alan Hancock dari The Centre for
Educational Television Overseas (London) menjalankan kajian tentang kemungkinan
menggabungkan perkhidmatan alat bantu mengajar, radio pendidikan dan television
pendidikan. Hasil laporan yang dikemukakan dan disokong dengan perkembangan
konsep multi-media yang berpotensi untuk mempertingkatkan proses
pengajaran dan pembelajaran, dalam tahun 1971, kerajaan bersetuju untuk
menubuhkan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan di bawah Kementerian
Pelajaran Malaysia. Projek penubuhan TV Pendidikan pula dimasukkan sebagai salah
satu projek perkembangan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975).
Pada 19 Jun 1972, perkhidmatan TV Pendidikan ke sekolah-sekolah di Semenanjung
Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya oleh Y.A.B. Tun Haji Abdul Razak bin
Dato’ Hussein.
Bahagian Teknologi
Pendidikan (BTP) telah diwujudkan pada 19 Jun 1972 dengan nama Bahagian
Perkhidmatan Sebaran Pendidikan. Kelulusan untuk mewujudkan BTP dibuat oleh
Kabinet dalam tahun 1971. Fungsi utamanya pada ketika itu ialah memberi
perkhidmatan siaran radio, perkhidmatan alat pandang-dengar dan
perkhidmatan siaran TV ke sekolah-sekolah. Dalam tahun 1988, nama Bahagian
Perkhidmatan Sebaran Pendidikan ditukar nama kepada Bahagian Teknologi
Pendidikan apabila fungsinya diperluas bagi merangkumi perkhidmatan pusat sumber
sekolah. Kini, BTP mempunyai 11 sektor dan 15 BTPN.
Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki.
Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki.
No comments:
Post a Comment